Fadillah Yusof

BRUSSELS – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata belum ada perbincangan mengenai rombakan Kabinet.

“Saya belum mendengar mengenainya. Tiada perbincangan tentang perkara itu. Itu adalah prerogatif (hak mutlak) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya ketika ditanya mengenai desas-desus mengenai kemungkinan akan berlaku rombakan Kabinet.

“Saya orang bekerja. Saya menurut perintah,” kata Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, kepada Media Malaysia di sini, hari ini

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited dan fokus untuk memastikan kerajaan yang kukuh dan stabil.

“Kami dari GPS telah memberikan komitmen dan apa yang kami perlukan sekarang ialah kerajaan yang kuat dan stabil.”

“Tanpa kestabilan, kita tidak boleh mengubah prestasi ekonomi, pelabur tidak akan datang kerana tiada dasar yang jelas, tiada kesinambungan dari segi kerajaan,” katanya.

Hanya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik akan menarik kedatangan pelabur, kata Fadillah yang merupakan Ketua Whip GPS di Parlimen.

“Ini perkara terpenting buat Sarawak dan ia merupakan komitmen kami dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

— BERNAMA