Awesome TV.

KUALA LUMPUR – Awesome TV dengan tegas membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung isu hutang tertunggak termasuk kes saman membabitkan beberapa penerbit, baru-baru ini.

Menurutnya, Fahmi tidak seharusnya mencampuri hal-hal komersial stesen televisyen dengan pembekal-pembekalnya.

“Untuk pencerahan, kami ingin membuat kenyataan bahawa pihak yang bertanggungjawab untuk produksi rancangan televisyen dan juga hal-hal pembayaran kepada syarikat-syarikat produksi adalah syarikat perantaraan atau ejen yang dilantik oleh pihak stesen televisyen dan bukannya stesen televisyen.

“Menteri juga membuat rujukan kepada peranan My Creative Ventures Sdn. Bhd. yang menyuntik pinjaman perniagaan kepada penggiat seni. Pihak stesen televisyen tidak langsung berurusan dengan My Creative. Maka, tidak wajar bagi menteri atau pihak My Creative membuat apa-apa kenyataan mengenai stesen televisyen,” katanya dalam kenyataan di sini.

Awesome TV berkata, selaku stesen televisyen yang berpegang teguh kepada prinsip integriti, pihaknua telah menjalankan operasi syarikat dengan mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memburukkan imej Awesome TV dengan tidak adil.

“Sebagai seorang menteri, Fahmi sewajarnya membuat kajian lanjut terutamanya dengan Awesome TV dan tidak melemparkan kata-kata yang memberi kesan negatif dan tidak adil kepada Awesome TV.

“Kami berharap agar pihak media dan masyarakat dapat memahami sepenuhnya konteks sebenar dan tidak membuat penilaian yang boleh mengakibatkan fitnah.

“Kami tetap berkomitmen untuk memberikan kandungan berkualiti tinggi dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada industri penyiaran,” ujarnya.

Dalam kenyataan malam tadi, Fahmi berkata, beliau sudah bertemu pengurusan tertinggi stesen penyiaran swasta terbabit bagi memastikan kontroversi tidak berlanjutan pada 15 Mei lalu.

“Pada pertemuan itu, saya sudah meminta pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) segera jelaskan isu membabitkan tunggakan sekiranya ada… Perkara ini saya lihat agak penting.

“Saya menggesa Awesome TV segera menyelesaikan isu ini walaupun saya difahamkan, ada sesetengah pihak yang mempunyai saman sivil dan sebagainya (terhadap stesen televisyen terbabit.

Fahmi berkata, isu hutang tertunggak turut memberi kesan kepada penerbit drama atau program dibiayai MyCreative Ventures Sdn Bhd, iaitu agensi di bawah kementeriannya. – MalaysiaGazette