Aziedy Abdul Talib didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang eksekutif operasi kewangan sebuah syarikat sebanyak RM40,000 pada 2016.

Tertuduh, Aziedy Abdul Talib, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pendakwaan, dia dituduh menipu eksekutif operasi kewangan syarikat Mutiara.com Sdn Bhd untuk mempercayai kandungan invois untuk perkhidmatan Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service adalah benar.

Ia bagi mendorong bayaran sebanyak RM40,000 kepada syarikat ATR Resources Enterprise.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM10,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Mutiara.com Sdn Bhd, Tingkat 14, Menara UMNO, Jalan Macalister, George Town pada 11 Oktober 2016.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Tertuduh turut dibacakan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 selain mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan passport antarabangsa dan melaporkan diri di Ibu pejabat SPRM.

Kes akan disebut semula pada 26 Jun depan

Tertuduh membayar jaminan tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sebab kes bilis laju Aje..kenapa kes yg melibatkan JERUNG jalan macam kura kura gergasi ?????

Comments are closed.