Anwar Ibrahim.-Foto MUHD NA’IM, 15 MEI 2023.

PAPAR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta seluruh rakyat di negara ini memanfaatkan kekuatan kerajaan masa kini untuk bersama-sama membangun dan membela nasib semua kaum serta agama yang ada di Malaysia.

Beliau berkata sesebuah negara itu hanya dapat dimajukan dalam semua perkara, termasuk yang melibatkan suku kaum dan agama jika kerajaan itu stabil dan mendapat kerjasama serta sokongan penuh daripada seluruh rakyat.

“Kenapa kita mahu raikan semua perayaan suku kaum dan agama yang ada di Malaysia? Kerana kita mahu semua rakyat di Malaysia maju. Persaingan itu kita buat untuk kebaikan, bukan permusuhan dan sebab itu saya rasa penting rakyat Sabah juga dapat menyokong semua program yang dilaksanakan oleh kerajaan kukuh di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Rakyat Sabah perlu gunakan kekuatan kerajaan untuk sama-sama berganding bahu memaju dan membangunkan negeri ini, sekali gus membela rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Perpaduan Rakyat Parlimen Papar bersama Perdana Menteri di Palm Square Kinarut dekat sini hari ini.

Turut hadir Hajiji, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, dan Timbalan Ketua Menteri lll Datuk Shahelmey Yahya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata walaupun dasar kerajaan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan mengatakan Islam itu adalah agama rasmi Malaysia dan Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, namun ia tidak menghalang negara ini meraikan kepelbagaian.

“Kita tidak menghalang agama lain untuk melaksanakan hak-hak mereka… jangan hina kaum atau agama lain kerana itu hanya mendatangkan perbalahan. Oleh itu kita kena hormat menghormati dan terima berbezaan yang ada… apa yang saya mahukan adalah negara yang menghormati semua pihak,” katanya.

Pada majlis yang sama, Anwar turut berkesempatan menyerahkan kad pesara kepada keluarga Allahyarham Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub dilaporkan meninggal dunia ketika dalam misi menawan Everest menerusi Malaysia Everest 2023 (ME2023) baru-baru ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast