Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) mencadangkan satu majlis dialog diadakan bersama dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan tiada sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, kenyataan itu memperlihatkan Menteri Besar berkenaan sebagai kurang menyelidik atau sengaja bagi dilihat terlalu ‘cerdik’ dalam mendapat simpati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Betulkah kenyataan Menteri Besar Kedah itu atau satu gimik murahan menjelang PRN akan datang?

“Jika diizinkan, kita cadang adakan satu dialog antara Pewaris dengan Muhammad Sanusi pada suatu tarikh yang ditentukan kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yussof, sempadan Kedah dan Pulau Pinang wujud serta dinyatakan dengan Akta 325 yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia.

Jelas beliau, berdasarkan sumber Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah sempadan Pulau Pinang dan Kedah bahagian Seberang Perai diwujudkan menerusi perjanjian 6 Mei 1869 antara Inggeris dengan Siam.

“Bagi Daerah Seberang Perai Tengah, Batu Sempadan Lama bermula berhampiran Kampung Perenggan dan Kampung Lalang, hinggalah ke kawasan Junjong dan ada enam batu kesemuanya mengikut peta tahun 1931.

“Mengikut Perlembagaan Malaysia (Akta Kedah dan Pulau Pinang- Pengubahan Sempadan 1985) bahagian sempadan di antara Kedah dan Pulau Pinang yang di sepanjang Sungai Muda adalah diubah kepada yang di sepanjang garis tengah alur Sungai Muda.

“Sebagaimana sungai ini mengalir sebelum sahaja berkuatkuasanya akta ini, pengubahan tersebut kepada sempadan yang ditunjukkan dalam pelan diserah simpan yang dikenal pasti mengikut Pelan Warta No. PW 1000 hingga PW 1008,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Sanusi menegaskan Pulau Pinang milik Kedah apabila mendakwa negeri hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis sahaja. – MalaysiaGazette