Rangka manusia prasejarah yang ditemui tahun lepas di Gua Keledung.

KUALA LUMPUR – Rangka manusia prasejarah yang ditemui tahun lepas di Gua Keledung dapat dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara.

Ia juga akan dikongsi dengan orang ramai, kata kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain di Gua Keledung Kecil semasa menjalankan kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri di Lembah Nenggiri, Kelantan pada November 2022.

Ia ditemui penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli iaitu Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM semasa
menjalankan kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat
untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri.

“Penemuan rangka manusia prasejarah di Gua Keledung Kecil merupakan antara jumpaan penting kepada warisan arkeologi negara. Secara tidak langsung, ia dapat menyumbang kepada dapatan fakta baharu berkait amalan pengebumian dan evolusi sosio-budaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri,” katanya kenyataan yang sama.

Rangka manusia tersebut berada dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya.

Kedudukan melipat sepenuhnya ini merupakan posisi yang hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu yang sedang mengandung.

Selain itu, perkara menarik berkenaan rangka ini adalah asosiasi artifak yang berada di sekelilingnya yang berfungsi sebagai alat bekalan kubur.

Tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan.

Di sekeliling rangka juga terdapat alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati, antaranya batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat
prasejarah.

“Cara pengebumian rangka manusia prasejarah yang ditemui itu merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri semenjak 14,000 tahun yang lalu.

“Sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik,” ujarnya.

Sebagai langkah awal, rangka manusia prasejarah ini akan dibawa keluar dari Gua Keledung Kecil dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh.

Sebuah galeri mini akan dibangunkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad berhampiran dengan Empangan Nenggiri bagi menempatkan segala jumpaan arkeologi di Lembah Nenggiri termasuklah rangka yang dijumpai di Gua Keledung Kecil.

Kewujudan galeri tersebut pastinya akan menjadi aset pelancongan berasaskan warisan dan budaya untuk menarik pelancong datang ke Lembah Nenggiri.

“Impaknya amat positif kepada rantaian sektor perkhidmatan di mana limpahan ekonomi serta kemakmurannya akan dinikmati oleh rakyat tempatan secara keseluruhan,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette