Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa diiringi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Dr. Norhayati Rusli melihat kanak-kanak yang diterima vaksin Pneumokokal selepas Majlis Perasmian Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2023 di Auditorium Kompleks E, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 31 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memperluas pemberian vaksin pneumokokal secara percuma kepada kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia berikutan mereka tidak tersenarai dalam kumpulan sasaran sebelum ini.

“KKM telah memberi vaksin pneumokokal menerusi Program Imunisasi Kebangsaan kepada kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2020.

“Berdasarkan data KKM, kadar discaj akibat penyakit pneumokokal invasif di hospital KKM adalah tinggi dalam kalangan mereka berusia lima tahun ke bawah. Maka, kita perluas pemberian vaksin ini kepada mereka yang lahir pada 2018 dan 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2023, di sini, hari ini.

Katanya, suntikan itu penting bagi mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria streptococcus pneumoniae atau dikenali pneumokokus.

Bakteria tersebut boleh menyebabkan radang paru-paru, radang sinus, jangkitan telinga tengah, septicaemia, radang selaput otak dan saraf tunjang.

Lebih membimbangkan, komplikasinya boleh membawa kepada cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.

“KKM menyeru agar ibu bapa boleh bawa anak-anak ke setiap fasiliti kesihatan primer KKM secara walk-in atau buat janji temu melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Pemberian vaksin itu akan bermula di seluruh negara bermula esok sehingga 31 Mei tahun depan melalui kempen Imunisasi Catch-up Pneumokokal (CHUP). – MalaysiaGazette