Bayi lelaki ditemui di hentian bas dalam keadaan dihurungi semut di Taiping, Perak semalam.

TAIPING – Seorang bayi lelaki cukup sifat ditemui dalam keadaan dihurung semut di Hentian Bas Taman Kota Wira, Kamunting di sini, semalam.

Bayi itu ditemui seorang wanita yang menghentikan keretanya di lokasi berkenaan untuk mengambil barang sebelum terdengar tangisan bayi kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan wanita tersebut membawa kepada penemuan bayi lelaki.

Jelas beliau, bayi itu ditemui di dalam sebuah kotak dalam keadaan dibaluti tuala berwarna coklat selain dihurungi semut.

“Kita dimaklumkan berhubung penemuan bayi sebelum pihak polis bergegas ke lokasi tersebut.

“Bayi itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan doktor mendapati bayi seberat 2.62 kilogram itu cukup sifat,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Razlam, bayi itu memerlukan bantuan intubasi memandangkan mengalami masalah pernafasan laju selain mempunyai ciri-ciri kurang air dalam badan.

“Mangsa masih menerima rawatan intensif neonatal (NICU) di hospital berkenan namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Sehubungan itu, pihak polis kini sedang mengenal pasti suspek yang membuang bayi itu,” jelas beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. – MalaysiaGazette