JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor merayu kerajaan persekutuan membantu menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat di negeri itu, terutama di Hospital Sultan Ismail (HSI), bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik pada masa depan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, lawatannya ke HSI semalam bukan mahu mencari kesalahan, sebaliknya ingin memperbaiki kekurangan yang ada di hospital tersebut.

“Marah-marah juga tetapi itulah realitinya dan bukan saya kata ini salah siapa-siapa. Saya sebagai Menteri Besar Johor tidak ada niat untuk mengaibkan sesiapa.

“Niat saya adalah untuk memperbaiki keadaan kita di Johor, untuk sama-sama kuta jaga anak-anak Johor dan untuk sama-sama kita jaga bangsa Johor. Sebab itu saya merayu kepimpinan Putrajaya dan sama-sama kita lihat bagaimana kita boleh perbaiki,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor, di sini, hari ini.

Pada 23 Mei lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dilaporkan berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan, terutamanya doktor dan jururawat yang dianggarkan hampir 2,800 staf.

Menurut Onn Hafiz, kekurangan kakitangan di HSI telah menyebabkan Wad 9A dan 10A yang membabitkan lebih 100 katil pesakit tidak dapat digunakan.

Tambah beliau, ini menyebabkan pesakit terpaksa diletakkan di ‘lorong tikus’ hospital tersebut malah pesakit juga termasuk menunggu lama sehingga lima atau enam jam berikutan kekurangan katil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast