Low Yong Pang didakwa menyeleweng minyak diesel bersubsidi 500 liter dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas persiaran Singapura hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeleweng 500 liter minyak diesel bersubsidi 500 liter.

Tertuduh, Low Yong Pang, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki warga Singapura itu didakwa memiliki barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sejumlah anggaran 500 liter di dalam sebuah bas persiaran jenis Scania nombor pendaftaran PA7792G.

Perbuatan itu dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1)Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.

Tertuduh  didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Jalan Kempas Baru, Johor Bahru pada pukul 10 pagi, 30 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk kesalahan kali kedua dan seterusya tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Pegawai Pendakwa KPDN, Raja Nor Ikhlas Raja Ariff.

Yong Pang diwakili peguam, Dahlia Tan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette