Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengamal media ketika di majlis pelancaran Tabung Kebajikan dan Pembelajaran di Dewan Seri Melati, Presint 3, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar mana-mana yayasan dan badan amal yang menerima sumbangan daripada pelbagai pihak menyediakan laporan lengkap kepada pendermanya.

Beliau berkata, saranan itu dimulakan dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam masa terdekat.

“Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan memulakan tradisi baharu, siapa yang menderma akan mendapat laporan dari pengurusan, wang yang didermakan itu digunakan untuk apa.

“Ini penting dan saya berharap badan-badan amal yang sudah derma, RM100,000 lepas itu hilang dengan surat terima kasih.” katanya selepas melancarkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan di Dewan Sero Melati, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj  dan Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki.

Langkah itu, kata Anwar, akan memberikan keyakinan kepada penderma bahawa yayasan dan badan amal serius dan telus dalam menguruskan sumbangan yang telah disalurkan.

“Saya mahu pastikan hal sedemikian ini dilaksanakan dan saya mahu dalam tempoh yang singkat, YWP mulai dari sekarang kita adakan kaedah yang telus, pengurusan yang baik, laporan kepada penyumbang sama ada majlis agama, atau wang zakat.

“Kita mahu seperti RM1 juta wang zakat itu diberikan, ini yang kami belanjakan, ini auditnya,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi YWP berkata, yayasan yang ditubuhkan adalah untuk tujuan murni namun terdapat kelemahan yang harus diperbaiki.

“Jawatankuasa pengurusan juga harus mengambil kepakaran luar dan menimba pengalaman dari professional lain kerana ramai yang bersedia memberi sumbangan idea kepada yayasan sekali gus mampu memberi pulangan lebih baik,” katanya.

Bagi tempoh 2018 hingga 2022, YWP telah membelanjakan RM100 juta kepada lebih 700,000 orang penerima manfaat dari seluruh Wilayah Persekutuan menerusi pelbagai program kebajikan dan pelajaran.

Antaranya Program Bantuan Pemakanan, Bantuan Kembali Ke Sekolah, Pemberian Skim Biasiswa Sekolah Menengah, Bantuan Awal IPT, Biasiswa IPTA, Seminar Kecemerlangan UPSR dan SPM dan juga program- program di Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti yang terletak di kawasan-kawasan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast