logo mahlamah

MELAKA – Seorang lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan cuba merasuah pegawai kanan polis sebanyak RM60,000 supaya melepaskannya kerana terbabit kes penipuan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas dipohon pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau membenarkan lelaki itu yang merupakan dalang sindiket penipuan direman enam hari bermula hari ini sehingga 7 Jun ini.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap diiringi pegawai SPRM Melaka tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka pukul 8.30 pagi.

Suspek ditahan kira-kira pukul 10.40 malam tadi ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka selepas cuba merasuah seorang pegawai kanan polis berpangkat deputi superintendan (DSP).

Difahamkan, suspek sebelum itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah jam 1.34 tengah hari semalam selepas cuba merasuah polis RM60,000 untuk melepaskannya kerana terbabit kegiatan penipuan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek. – MalaysiaGazette.