MELAKA – Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu menggantikan Datuk Seri Dr Hasim Hasan, berkuat kuasa semalam.

UTeM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan untuk tempoh tiga tahun itu dipersetujui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaras dengan peruntukan 17(1)(a) Perlembagaan Universiti.

Husaini Omar, 60, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Geologi) dari Universiti Malaya (UM) seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Kejuruteraan Geologi dari University of Leeds, United Kingdom.

Beliau turut memperoleh Doktor Falsafah Kejuteraan (Kejuruteraan Sistem) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berpengalaman dalam industri selama lapan tahun sebagai Jurutera Geologi sebelum memulakan karier sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1996.

Husaini kemudian dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM pada 15 Februari 2017 sebelum menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 Januari 2018 sehingga 6 Januari 2019.

Beliau juga pernah menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dari 1 Jun 2020 sehingga 31 Januari 2021 sebelum menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula 1 Februari 2021 sehingga 9 Mac 2023.

“UTeM merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan terbabit dan percaya dengan kepemimpinan, ketokohan, kepakaran serta pengalaman luas yang dimiliki, beliau mampu menerajui dan memimpin UTeM ke persada gemilang selaku institusi pengajian tinggi teknikal yang terus cemerlang di pentas dunia.

“Pada masa sama, UTeM turut merakamkan penghargaan kepada Hasim Hasan atas jasa dan sumbangan hebat diberikan kepada universiti ini sepanjang perkhidmatan beliau di UTeM sehingga 18 Mei 2023,” katanya. – MalaysiaGazette.