KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,638 kes demam denggi dilaporkan antara 21 hingga 27 Mei berbanding 2,444 kes pada minggu sebelumnya, peningkatan sebanyak 194 kes (7.9%) termasuk tiga kes kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga minggu itu sebanyak 46,257 kes berbanding 17,496 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 28,761 (164.4%).
Trend kes denggi bagi tahun 2023 adalah lebih tinggi berbanding kes bagi median 5 tahun dan tahun 2022.
Manakala sejumlah 31 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 10 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
Bilangan lokaliti hotspot pada minggu ini menurun dengan sebanyak 72 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 77 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 53 lokaliti berada di Selangor, lapan Pulau Pinang, lima di Sabah, empat di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta masing-masing satu di Kedah dan Perak.
Dalam pada itu, bagi survelan chikungunya sebanyak tiga kes telah direkodkan sepanjang tempoh tersebut dengan dua kes dari Selangor dan satu kes dari Kedah.
Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 134 kes.
Manakala bagi survelan zika, sebanyak 1,139 sampel darah dan 53 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
Dr Muhammad Radzi berkata, semua lapisan masyarakat perlu memastikan tiada bekas berpotensi pembiakan nyamuk aedes di persekitaran rumah dan tempat melakukan kegiatan
harian.
Jarak terbang nyamuk aedes adalah dalam radius 200 meter dan sekiranya terdapat kes demam denggi di sesebuah kawasan, nyamuk infektif akan membawa virus denggi dalam jarak sekitar 200 meter dari rumah kes.
Pesakit yang telah disahkan demam denggi juga perlu menghindarkan diri dari digigit nyamuk aedes dengan pemakaian repelan nyamuk agar virus denggi tidak dipindahkan kepada individu lain melalui gigitan nyamuk. – MalaysiaGazette