R. Ramanan

PUTRAJAYA – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mengumumkan empat inisiatif bagi meningkat status sosio-ekonomi masyarakat India sepanjang tahun ini.

Pengerusinya Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas, Datuk R. Ramanan berkata, inisiatif itu melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta dengan peluang pendidikan dan jaminan pekerjaan kepada golongan B40 belia dan pelajar.

Beliau berkata, inisiatif pertama adalah Program Lesen Penyelenggaraan Pesawat yang memberi peluang kepada seramai 100 orang belia India B40.

“Mereka akan dilatih untuk menjadi Juruteknik Bertauliah dengan pensijilan dan lesen daripada Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) dan diberikan penempatan kerja apabila tamat latihan nanti.

“Program latihan ini akan dilaksanakan secara kerjasama dengan Weststar Aviation Services (WASSB) yang merupakan peneraju dalam industri penerbangan serantau di mana anggaran kos keseluruhan program adalah sebanyak RM5.5 juta,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, inisiatif kedua merupakan Program Teknikal Operasi Dron & Perkhidmatan Data dan Program Kemajuan Automasi Elektrik (EAAP).

Jelas beliau, inisiatif itu kerjasama SG Education Group yang merupakan Organisasi Latihan Juruterbang Jauh (RPTO) dan diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta badan yang bertauliah dalam mengendalikan Program Kenderaan Elektrik (EV).

Program itu diiktiraf oleh Institute of the Motor Industry (IMI), United Kingdom Certification.

“Melalui program ini, seramai 150 orang belia India B40 akan menyertai program Operasi Dron dan Perkhidmatan Data manakala 250 orang belia India B40 akan menyertai EAAP.

“Program latihan dan pensijilan ini juga dilengkapi dengan penempatan kerja dengan anggaran kos keseluruhan program adalah sebanyak RM4.3 juta.

Ramanan menambah, bagi inisiatif ketiga, ia melibatkan Program Bantuan Komputer Riba untuk Makmal Komputer Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan kerjasama Google Malaysia mensasarkan kepada 527 sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil melibatkan 6,000 laptop diperbaharui.

“Program ini akan memberikan akses dan peluang yang lebih terbuka kepada semua murid dalam penyertaan menjayakan aspirasi kerajaan dalam bidang informasi, komunikasi dan teknologi (ICT).

“Anggaran kos untuk pelaksanaan program ini adalah sebanyak RM3 juta,” katanya.

Inisiatif terakhir kata Ramanan, adalah program di 38 daerah melibatkan 72 Parlimen Kerajaan yang memiliki kepadatan masyarakat India tinggi.

“Sejumlah RM7.2 juta diperuntukkan kepada pusat khidmat rakyat di kesemua 72 parlimen tersebut untuk pelaksanaan program membabitkan mana-mana tiga skop.

“Ia adalah pembangunan modal insan, pembangunan keusahawanan dan kerjaya atau pembangunan sosial dan kebajikan, kerohanian dan kesejahteraan yang akan memanfaatkan penduduk tempatan,” katanya.

Ramanan memberitahu, Memorandum Persefahaman (MoU) kesemua inisiatif ini akan ditandangani pada majlis yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertengahan bulan ini. – MalaysiaGazette