KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalu-alukan pengamal perubatan swasta umum (GP) di 10 daerah menyertai program rintis Skim Perubatan Madani yang bermula hari ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, penerima boleh mendapatkan rawatan Skim Perubatan Madani bermula 15 Jun 2023.
Katanya, 10 daerah yang ditetapkan adalah Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor).
“Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak),” katanya menerusi kenyataan.
Ujar beliau informasi skim tersebut boleh diketahui lebih lanjut menerusi laman sesawang ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-8687 2525.
“ProtectHealth juga akan menganjurkan sesi taklimat dan latihan secara dalam talian kepada GP yang berdaftar untuk penerangan lebih lanjut mengenai Skim Perubatan Madani,” jelasnya.
Sebagai rekod, Skim Perubatan Madani diumum ketika pembentangan Bajet 2023 sebagai salah satu inisiatif kerajaan bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.
Skim berkenaan merupakan manfaat perkhidmatan kesihatan percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang bertujuan membantu golongan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes-kes akut) di GP berhampiran.
Usaha tersebut sekali gus mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan. – MalaysiaGazette