Azalina Othman Said meninjau kerja-kerja pembinaan bangunan mahkamah di Bandar Penawar, Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

KOTA TINGGI – Siasatan berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana syarikat judi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak terhad kepada agensi tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, siasatan boleh dilakukan oleh mana-mana agensi atau penguatkuasa sekiranya terdapat bukti.

“Undang-undang jenayah ini dia tidak ada had limit dan saya sebut Polis Diraja Malaysia (PDRM) banyak lagi agensi yang boleh melihat dan menilai mana-mana kes, jadi jangan kita menganggap bahawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sahaja sebagai agensi yang bertanggungjawab.

“Jadi bagi saya kalau siapa yang terlibat dalam kes kes jenayah ini ada bau-bau jenayah jangan panik kelam kabut biar pihak agensi yang bertanggungjawab untuk siasat,” kata selepas Taklimat Pelaksanaan Projek dan Lawatan Tapak Mahkamah Pengerang di Bandar Penawar, di sini, hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN merima dana daripada syarikat perjudian.

Kata beliau, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu tersebut menyebabkan tiada fail siasatan dibuka. – MalaysiaGazette