TANGKAK –  Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13, Jalan Sengkang Teratai, di sini, petang semalam.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Jahairi Shukor menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden yang membabitkan kereta Toyota Altis dan pikap Toyota Hilux pada jam 4.20 petang.

Beliau berkata, mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri berusia 56 dan 52 tahun serta anak perempuan mereka berumur 17 tahun yang menaiki kereta Toyota Altis meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Jahairi, seorang lagi anak pasangan suami isteri itu yang berusia 15 tahun cedera parah dan dirawat di Hospital Daerah Tangkak (HDT).

Katanya, kesemua mayat dihantar ke Jabatan Forensik HDT untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette