KUALA LUMPUR – Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan 478 individu membabitkan 154 sindiket dadah dalam operasi yang dilakukan untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam operasi itu sebanyak tujuh makmal dadah diserbu dan lima individu ditangkap.
Tambah beliau, polis turut menyita pelbagai aset milik sindiket dadah yang dianggarkan bernilai RM44 juta.
“Dalam operasi yang sama, harta hasil-hasil aktiviti dadah milik sindiket dadah yang dianggarkan bernilai sebanyak RM3.9 juta turut dilucuthak,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut Mohd Kamarudin, sepanjang tempoh tersebut, pihaknya menangkap 77,121 individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 198 individu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
“JSJN juga melakukan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 8,611 kilogram dan 1,559 liter pelbagai jenis cecair dadah.
“JSJN turut berjaya merampas 38,072 kilogram (kg) daun ketum, 22,187 liter air ketum serta 18 batang pokok ganja yang membawa keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM229 juta,” ujarnya.
Mohd Kamarudin berkata, bagi tempoh yang sama, seramai 3,407 penagih dadah tegar dan memiliki rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C akta yang sama.
Kata beliau, daripada jumlah itu, seramai 1,969 individu telah disabitkan kesalahan.
“Kita juga tidak akan berkompromi dengan penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah apabila sepanjang tempoh lima bulan pertama itu kita berjaya menangkap seramai 238 orang penjawat awam atas kesalahan tersebut.
“Manakala enam daripadanya telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 3(1) ADB LLPK 1985,” katanya sambil menambah sebanyak 31,180 kertas siasatan telah dibukan dan 92.4 peratus dituduh di mahkamah. – MalaysiaGazette