Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka projek rintis Program Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang) untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak berusia kurang 6 tahun.

Menurut kenyataan KBS, projek rintis itu dijangka dimulakan pada Julai tahun ini susulan program KLAS Renang untuk golongan B40 yang dilancarkan pada 13 Mei 2023 lalu yang bertujuan mengurangkan kadar kematian akibat lemas dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, KLAS Renang yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendapat sambutan menggalakkan dan maklum balas positif dalam kalangan keluarga B40.

Sementara itu, KBS berkata, sehingga 4 Jun lalu, seramai 288 orang daripada 720 peserta telah melengkapkan pembelajaran dan latihan KLAS Renang Siri 1.

“Berdasarkan pemantauan dan pemerhatian jurulatih, para peserta telah menunjukkan perkembangan positif terutamanya melibatkan pembinaan keyakinan di dalam air (water confidence) yang turut melibatkan kemahiran Bubbles & Hold Breath, Floating (Star Float), Kicking & Dynamic Kick with Air Exchange, Pulling & Combination Pull and Kick.

“Lebih membanggakan, terdapat beberapa peserta telah menguasai teknik berenang freestyle dan backstroke kicking dengan purata 91 peratus penguasaan kemahiran asas berenang dalam tempoh yang sangat cepat,” ujarnya. – MalaysiaGazette