Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dilihat bakal memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) mendominasi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengaruh politik bekas Perdana Menteri itu tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi ia dekat di hati pengundi Melayu dan Islam di negara ini.

“Apa yang penting kami daripada Pas, Bersatu, Gerakan dan rakan-rakan lain dalam PN ialah untuk mentadbir dan memberi sokongan sebanyak mungkin kepada rakyat, bukan sahaja Melayu Islam bahkan komuniti lain.

“Ini boleh dicapai dengan pelbagai cara, antaranya kebersamaan kita dengan gerakan yang dijalankan oleh NGO, termasuklah tokoh-tokoh negarawan dan orang perseorangan.

“Tentunya ini merupakan satu nilai tambah bukan sedikit kesannya terutama dalam kita menghadapi PRN tak berapa lama lagi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs).

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali dan Pengurus Besar PKENPs, Norsiake Kassim.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir mengakui beliau bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin selaku Pengerusi PN sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Dr Mahathir berkata, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.

Khamis lalu, Muhyiddin selaku Pengerusi PN juga bersedia untuk bekerjasama tokoh Melayu dan Islam termasuk Dr Mahathir demi matlamat memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam. – MalaysiaGazette