Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (kiri) kelihatan mesra pada perasmian Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Tiada siapa yang sangka hubungan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ibarat isi dan kuku.

Segalanya terungkai semalam apabila Pengerusi Yayasan Albukhary itu mengakui keakraban mereka seperti abang dan adik.

Syed Mokhar berkata, beliau memanggil Anwar dengan gelaran ‘abang’ sejak bertahun-tahun yang lalu.

“Hari ini (semalam) menjadi detik paling istimewa buat saya kerana ia kali pertama saya beri ucapan mengenai beliau (Anwar) di khalayak ramai. Maafkan saya jika anda bosan tapi penting untuk saya kongsi untold story ini.

“Beliau yang saya maksudkan sudah tentunya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah menjadi ‘abang’ kepada saya dan ahli perniagaan lain juga.

“Jika tidak kerana ‘Abang Anwar’, tidak akan ada muzium, tak ada Albukhary yang menjadi tunggak kepada Yayasan Albukhary,” katanya ketika berucap, di sini, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (kiri) pada Perasmian Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2023.

Jelas tokoh perniagaan yang merupakan antara individu terkaya di Malaysia berkata, pertemuan pertama mereka adalah ketika Anwar menjadi Menteri Pertanian pada 1984.

Pendedahan itu kemudian ‘dihiasi’ dengan tepukan gemuruh selepas ramai yang seakan-akan tidak menyangka Syed Mokhtar yang cukup sinonim sebagai sekutu Tun Dr Mahathir Mohamad, juga mempunyai hubungan istimewa dengan Anwar.

Lebih memeranjatkan mereka yang hadir semalam adalah kedua-dua pemimpin itu merupakan seteru dalam politik kecuali sebelum 1998 dan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Sementara itu, Anwar turut menyifatkan Syed Mokhtar sebagai figura yang pemurah meskipun berdepan tentangan keras dari kerajaan terutama membabitkan isu Bernas.

“Sehari selepas saya jadi Perdana Menteri, saya telefon Syed Mokhtar dan saya kata ‘abang’ akan cadangkan Bernas (beri sumbangan) yang dapat tonjolkan bahawa kerajaan komited membantu petani,” ujarnya.

Katanya, Syed Mokhtar terus bersetuju dan memberi bantuan RM10 juta pada Disember lalu iaitu selepas sebulan panggilan tersebut dibuat.

“Tahun ini pula dijanjikan RM50 juta lagi untuk diagih kepada pesawah miskin. Saya boleh dapatkan bantuan RM60 juta daripada beliau sebab dia ‘adik’ saya, saya tahu kecenderungan ‘adik’ saya,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syed Mokhtar atas keprihatinannya terhadap rakyat yang terbeban. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.