Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail melawat ke gerai medan selera selepas Majlis Perasmian D’Anjung Selera Madani, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 03 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan usaha digerakan bagi merubah ‘wajah’ penjaja bagi menjamin kesejahteraan penempatan gerai.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil bagi menyediakan infrastruktur yang lebih selesa dan bersih dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kebersihan adalah nombor satu. Kemudahan asas mesti ada dan ketiga biarlah tempat itu indah dan selesa.

“Di Kuala Lumpur mesti ada 10 lagi projek, dari Jalan Tun Razak, Jalan Petaling dan Lembah Pantai mesti ada puluhan projek seperti ini kerana jumlah penduduk lebih ramai.

“Saya nak salah satu dua tahun ini kita tukar wajah Kuala Lumpur, kita tengok gerai dia istimewa cantik dan bersih,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian D’Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Anwar, perubahan wajah itu tidak seharusnya berlaku di Kuala Lumpur, malah ia sepatutnya berlaku di seluruh negara dan beliau telah berbincang mengenainya dengan beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Di Alor Setar, ini payah sikit tapi kita cuba. Mesti ada dasar yang jelas. Ini bukan jabatan Wilayah Persekutuan tapi mesti seluruh negara,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar mengumumkan pemotongan kadar sewaan gerai sebanyak 50 peratus kepada 23 peniaga di D’Anjung Selera Madani Jalan Jujur dalam usaha meringankan beban mereka selepas dipindahkan ke kawasan itu.

“Saya putuskan RM200 saya bagi kuasa Datuk Bandar kalau tidak bayar sewaan saya bagi kuasa Datuk Bandar batalkan lesen,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau amat berpuas hati dengan program pembangunan yang dirancang di ibu negara namun menggesa agar projek-projek dipercepatkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast