Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin melawat tapak pameran di Majlis Perasmian Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menganggap kritikan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi terhadap Rafizi Ramli sebagai satu keterbukaan dalam politik negara ketika ini.

Malah Naib Presiden UMNO itu percaya jika kritikan itu didengar ia boleh menjadi sesuatu yang matang.

“Saya ingat dalam suasana politik yang ada di dalam negara pada masa sekarang ini ia lebih kepada keterbukaan dan saya percaya kalau ada yang mengkritik dan mendengar ia mengamalkan sikap terbuka dan matang,” katanya yang juga Menteri Pendidikan Tinggi pada sidang media selepas merasmikan penutupan Program Jom Masuk U di Universiti Malaya hari ini.

Beliau mengulas isu kritikan Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kepada Rafizi sebagai menteri namun ia ditegur oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled tidak mahu mengulas lanjut  mengenainya dan biarlah ia melibatkan sesama mereka.

“Jadi, saya ingat itu antara mereka berdualah, kalau saya masuk jadi tiga…nanti jadi kacau bilau. Tak apalah, tapi saya percaya yang memberi baik dan yang sambut pun baik, jadi ia akan jadi baik,” ujarnya.

Baru-baru ini, Puad menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan apa langkah signifikan yang diambil oleh Rafizi bagi memulihkan ekonomi negara terutamanya daripada segi menangani kesan kejatuhan nilai ringgit.

Menurutnya, Ahli Parlimen Pandan itu sekurang-kurangnya perlu memperkenalkan polisi baharu ‘ekonomi rakyat’.

Bagaimanapun, tindakan Puad itu dibidas Asyraf  apabila mengingatkan pemimpin parti itu supaya tidak menyerang satu sama lain dalam Kerajaan Perpaduan semata-mata mahu memuaskan hati sesetengah pihak.

Beliau dipetik berkata, UMNO terikat dengan tanggungjawab secara kolektif kerana parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mengatakan sayap parti itu tidak akan menjemput wakil mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan ke persidangan agung sayap berkenaan yang dijadual berlangsung minggu depan, Mohamed Khaled menegaskan, ia tidak menjadi satu masalah.

Ini kerana  bukan menjadi satu perkara wajib untuk menjemput pihak lain ke perhimpunan sayap-sayap kerana undangan mengenainya telahpun dibuat di peringkat pusat.

“Itu tak jadi masalah, bukannya wajib pun nak jemput orang lain…sebab perhimpunan agung peringkat UMNO Malaysia dah jemput, jadi sayap tak perlulah,” katanya. – MalaysiaGazette