Sehingga petang tadi, beberapa jalan utama dan jalan keluar masuk di Jalan Makyong terputus akibat iar yang naik sehingga 0.3 meter.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor digesa melakukan kerja-kerja membesar dan mendalamkan Sungai Poloh, Klang bagi menangani masalah banjir kilat di Bandar Bukit Raja pada hari ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Bukit Raja Klang, Mohd Zulkifli Othman berkata, langkah tersebut akan menambah kemampuan dan kapasiti sungai itu menerima air terutama ketika hujan lebat.

Dalam masa sama beliau turut mencadangkan supaya kerajaan negeri menyediakan kawasan tadahan banjir di sekitar kawasan tersebut.

“Kawasan tadahan yang boleh dibina di tanah rizab paya akan berfungsi sebagai kawasan aliran air dari Sungai Puloh sekiranya terdapat limpahan air besar Dari Setia Alam Dan Bukit Raja akibat hujan lebat. Di samping itu sekiranya hari biasa ianya boleh berfungsi sebagai kawasan rekreasi atau lanskap,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu Zulkifli mendakwa Bandar Bukit Raja Fasa 1 terutama Jalan Makyong antara yang terjejas teruk akibat banjir kilat hari ini.

Sehingga petang tadi, beberapa jalan utama dan jalan keluar masuk di Jalan Makyong terputus akibat iar yang naik sehingga 0.3 meter.

Jelas beliau, situasi berkenaan berlaku apabila semua kolam takungan di Bandar Bukit Raja dan air Sungai Puloh yang tidak dapat menampung akibat hujan lebat selama lebih kurang dua jam awal pagi tadi.

Dalam masa yang sama, katanya lagi, pembangunan di kawasan berkenaan dilakukan secara tidak terancang.

“Pembangunan Bandar Bukit Raja terutama di kawasan Jalan Makyong yang rendah menjadi mangsa sebagai kolam takungan limpahan air tersebut sebelum ke Sungai Puloh yang telah penuh Dan melimpah.

“Akibatnya jalan utama dan terdapat beberapa buah kediaman dinaiki air. Beberapa jalan utama Dan jalan keluar masuk juga terputus akibat kenaikan air.

“Sehubungan dengan itu berdasarkan tinjauan dan maklum balas didapati aliran air Sungai Puloh ke Kunci air utama telah terganggu akibat limpahan air yang besar dari Setia Alam dan hujan lebat di banyak tempat berhampiran melebihi dua jam,” jelasnya.

Terdahulu dilaporkan beberapa kawasan di sekitar Selangor pada awal pagi hari ini dinaiki banjir kilat ekoran hujan lebat selama beberapa jam.

Turut terjejas, beberapa kediaman di kawasan berkenaan yang juga ditenggelami air sekitar.

Difahamkan, antara kawasan yang dilaporkan terjejas termasuk Bandar Bukit Raja, Klang, Setia Alam serta Shah Alam.-MalaysiaGazette