GEORGE TOWN – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan jenayah samun dan pecah masuk kediaman elit di daerah Timur Laut selepas ahli Geng Rantau Dawai maut terjatuh lereng bukit ketika melarikan diri daripada polis di hutan berhampiran Taman Jesselton, Pulau Tikus semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut serta dibantu Pasukan Gerakan Am sedang mengesan geng berkenaan sebelum terserempak dengan tiga lelaki mencurigakan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ketiga-tiga lelaki tersebut melarikan diri dalam kawasan hutan tersebut sebaik pihak polis meminta mereka bekerjasama dengan menyerah diri.

Khaw Kok Chin.

Jelas beliau, operasi mengesan kesemua suspek dilakukan susulan pasukan tidak tahu lokasi suspek melarikan diri memandangkan keadaan gelap ketika itu.

Bagaimanapun, Kok Chin berkata, selepas hampir empat jam pencarian pihaknya menemui seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di lereng bukit dalam hutan tersebut.

“Hasil pemeriksaan pihak perubatan mengesahkan lelaki tersebut mati di lokasi dan dipercayai terjatuh ketika melarikan diri bersama dua lagi suspek lain.

Pihak forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut pihak forensik mendapati suspek mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan selepas disyaki terjatuh dari tebing batu setinggi empat tingkat bangunan.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek bersama dua lagi rakannya yang telah meloloskan diri itu terlibat dalam jenayah Op Rantau dan mereka dalam usaha melakukan jenayah samun dan pecah rumah di kediaman elit Taman Jesselton,” katanya hari ini.

Turut ditemui bersama suspek, satu beg galas berisi beberapa keratan dawai warna hijau, peralatan pecah rumah serta pisau pemotong daging.

Mayat suspek yang dipercayai terjatuh dari lereng bukit ditemui berhampiran hutan di Taman Jesselton, Pulau Tikus.

Tambah Kok Chin, pihaknya dalam proses meneliti cap jari untuk mengenal pasti identiti suspek memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama suspek.

“Hasil semakan kita percaya mereka terlibat dengan 15 kes samun, pecah masuk kediaman elit di daerah Timur Laut sejak tahun lepas membabitkan kerugian RM402,050.

“Hasil siasatan mendapati modus operandi Geng Rantau Dawai ini adalah mengikut mangsa dengan dawai hijau.

Pihak polis masih mengesan dua lagi rakan suspek yang masih bebas.

“Selain itu, kita juga dalam usaha mengesan ahli geng yang dipercayai masih bebas,” katanya. – MalaysiaGazette