Kon Yeow (kiri).

BUTTERWORTH – “Kalaulah Sanusi (Menteri Besar Kedah) berasa sejarah memihak kepadanya tetapi undang-undang memihak kepada kami (Pulau Pinang)”.

Demikian jelas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhammad Sanusi yang bersedia merujuk kes menuntut balik hak negeri Kedah ke atas Pulau Pinang di mahkamah.

Menurut beliau, kedudukan Pulau Pinang sebagai satu daripada negeri dalam Malaysia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia merupakan undang-undang tertinggi negara.

Malah, tegas beliau, ia diperkuatkan lagi dengan Akta Kedah Pulau Pinang-Kedah Pengubahan Sempadan 1985 (Akta 325) yang menjelaskan secara terperinci kedudukan sempadan antara kedua-dua negeri terbabit.

“Kita tunggu dia (Muhammad Sanusi) ambil tindakan. Setiap kali ditanya jawapan saya ringkas, padat dan senang iaitu jumpa di mahkamah.

Kon Yeow (kiri) merasmikan Pusat Penang2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Puyu di Butterworth, semalam.

“Dia perlu ambil tindakan sebab dia yang tuntut bukan kami. Jadi terpulang kepada tindakannya untuk teruskan walau apapun kita akan mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang,” katanya merasmikan Pusat Penang2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Puyu di sini semalam.

Media pada Jumaat lalu melaporkan Menteri Besar Kedah itu bersedia untuk ke mahkamah berhubung dakwaan Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Menurutnya, beliau juga bersedia disiasat polis berhubung dakwaan itu kerana pihaknya mempunyai banyak ‘sandaran’ mengenai perkara didakwanya itu. – MalaysiaGazette