Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dijangka  10 hari terakhir bulan ini, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow berkata, pihaknya akan mengumumkan tarikh pembubaran tetap selepas mengadakan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMK) yang terakhir.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan tiada masalah bagi kerajaan negeri sekiranya DUN terbubar secara automatik selepas tempoh penggal akhir iaitu pada Julai.

“Buat masa ini, kita belum mempunyai tarikh tetap namun ia akan berlaku pada 10 hari terakhir bulan Jun ini.

“Kita akan ada dua atau tiga lagi mesyuarat MMK dan mesyuarat terakhir akan menentukan tarikh pembubaran itu.

Kon Yeow (duduk, tengah) berinteraksi dengan kanak-kanak pada Program Interaktif Didik Hibur di Hospital Gleneagles hari ini. Gambar ihsan – FB CKY

“Malah, seperti dijanjikan awal tahun lalu pembubaran DUN akan berlaku penghujung Jun ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Interaktif Didik Hibur di Hospital Gleneagles di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, DUN Selangor bubar secara automatik pada 25 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir sekiranya tiada pengumuman pembubaran dibuat.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN dalam tempoh masa terdekat iaitu Pulau Pinang,  Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – MalaysiaGazette