SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN TH tabung haji hajj extreme hot weather
Syed Saleh Syed Abdul Rahman

MAKKAH – Operasi haji musim 1444 Hijrah berjalan lancar dengan 16,863 atau 53 peratus jemaah haji negara telah tiba di Tanah Suci sejak 21 Mei lepas hingga hari ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, 11,294 jemaah kini berada di kesemua 12 hotel penginapan di Makkah manakala 5,569 di tiga hotel di Madinah.

Beliau berkata sebanyak 57 penerbangan atau 58 peratus daripada keseluruhan 98 penerbangan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanah Suci.

“Kesemua 50 penerbangan dari KLIA ke Madinah telah selesai dengan penerbangan terakhir tiba di Madinah pada awal pagi 4 Jun,” katanya dalam sidang media perkembangan operasi haji di sini.

Menurutnya penerbangan feeder flight dari tiga stesen iaitu Alor Setar, Kedah; Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu yang membawa jemaah haji ke KLIA juga telah selesai beroperasi.

Sementara itu, Syed Saleh memaklumkan 31 jemaah haji berada di wad pusat rawatan Tabung Haji (TH) dan lima lagi di hospital Arab Saudi disebabkan jangkitan paru-paru, sakit kulit, otot dan sendi, namun kesemua mereka berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata bagi pesakit yang berada di fasiliti Arab Saudi, pasukan perubatan negara akan melawat mereka bagi mengetahui situasi semasa, selain berkongsi maklumat atau sejarah kesihatan pesakit sekiranya diperlukan doktor tempatan.

Syed Saleh turut mengingatkan jemaah haji untuk menjaga kesihatan serta mengelak terdedah cuaca panas yang kini mencecah 42 hingga 46 darjah Celcius, selain memakai pelitup muka bagi mencegah jangkitan sistem pernafasan ekoran pertambahan jumlah jemaah haji dari seluruh dunia.

“Jemaah haji disaran mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik yang disediakan TH jika tidak sihat…jangan bimbang jika pergi ke klinik dan ditahan di wad, jemaah haji akan tetap dibawa untuk berwukuf,” katanya. – BERNAMA