JOHOR BAHRU – Pemegang rekod baharu 400 meter (m) kebangsaan, Umar Osman mahu membaiki rekod masanya pada World University Games di China pada Ogos ini.
Pemuda berusia 20 tahun itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 46.34 saat (s) ketika memenangi pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja, bulan lalu.
Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang itu berkata, beliau yakin mampu membaikik sasaran sekali gus melayakkan diri secara merit kategori A pada ke Sukan Asia Hangzhou di China pada September depan.
“Sebelum bertanding di World University Games, saya akan mengambil bahagian pada pertandingan Asia Track & Field di Bangkok pada bulan depan. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk pertandingan ini.
“Untuk game ini nanti saya meletakkan sasaran ‘peak‘ dengan melakukan ‘personal best’ dan sudah tentu saya ingin mencipta rekod baharu sekali melayakkan diri secara merit ke Sukan Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan penghargaan kepada pelari muda pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 di Menara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Pada temasya Sukan SEA Kemboja, Umar berjaya memecahkan rekod kebangsaan Mohd. Zaiful Zainal Abidin dengan catatan masa 46.41s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2001 di Brunei.
Beliau yakin tunjuk ajar jurulatih Simon Lau Ching Meng mampu membantunya mencipta kejayaan untuk beraksi lebih baik bagi acara itu.
Selain beliau yakin catatan masa 46.17s untuk layak secara merit ke Sukan Asia.
Anak kelahiran Johor itu juga yakin latihan intensif yang akan dijalankan di Singapura sehingga 26 Ogos itu nanti mampu meningkatkan keupayaannya untuk terus mengharumkan nama negara.
Jelasnya walaupun tumpuan diberikan pada acara 400m, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk sertai kejohanan’warm-up’ pada Sukan Malaysia akan datang.-MalaysiaGazette