Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bercakap pada sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Keengganan ahli Parlimen pembangkang untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hanyalah satu helah bagi mengelakkan salah laku pentadbiran kerajaan terdahulu terbongkar kepada umum.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, dakwaan kononnya perbahasan laporan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dilihat cuba menutup transaksi perolehan Kementerian Kesihatan semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Saya terkejut apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan bahawa laporan Ketua Audit Negara ini hanya merangkumi laporan tentang Putrajaya sahaja.

“Bila saya semak, memang terdapat tiga laporan dan ia merangkumi pelbagai perkara, salah satunya berkenaan perolehan yang dibuat oleh kerajaan ketika darurat.

“Ia mengenai perolehan Kementerian Kesihatan bagi tujuan membekalkan vaksin, ventilator, dan pelbagai perkara, banyak ketirisan dilaporkan berlaku,” katanya pada sidang media di lobi Dean Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa usul kerajaan mengenai untuk membentang dan membahasakan laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Takiyuddin berkata, tiada peraturan Dewan Rakyat yang membolehkan usul itu dibentang dan dibahas tanpa mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU).

Menurut Takiyuddin, laporan itu hanya boleh dibentangkan ke Dewan Rakyat, selaras dengan Perkara 107, Fasal 1 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Rayer juga berkata, ini merupakan kali pertama ahli Parlimen pembangkang tidak mahu membahasakan Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.

“Saya sungguh hampa apabila pihak pembangkang tiada di dalam Dewan Rakyat untuk sama-sama kita membahaskan apakah kekurangan yang dilaporkan oleh ketua audit negara dan bagaimana kita boleh sepakat supaya perkara ini tidak berlaku.

“Saya menjangkakan sebab pihak pembangkang tidak mahu turut serta dalam perbahasan ini adalah kerana risau tentang perkara-perkara yang bakal dibocorkan atau didedahkan dalam perbahasan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette