Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap perjuangan yang dilakukan di negeri itu dengan mendapat lindungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menyenangkan kehidupan rakyat Johor.

Beliau yang menjawat jawatan Menteri Besar kira-kira satu tahun tiga bulan berkata, rakyat Johor bertuah kerana mempunyai sultanĀ  yang tegas, penyayang dan pemurah.

“Baginda dari segi kewangan sangat berjaga-jaga tetapi pada masa sama pemurah. Sultan Johor seorang raja yang menjiwai dan memahami apa yang dilalui oleh rakyat.

“Bila baginda mengambil pendekatan itu, alhamdulilah saya juga selari dengan apa yang baginda hasratkan untuk rakyat Johor.

“Jadi hubungan ke bawah duli tuanku dengan saya, saya anggap cukup baik dan saya doakan apa yang kami perjuangkan melalui lindungan Tunku itu akan membawa nilai tambah dan menyenangkan hidup rakyat Johor keseluruhannya,” kata Onn Hafiz.

Onn Hafiz mendedahkan, Sultan Ibrahim membelanjakan lebih RM180 juta untuk rakyat ketika pandemik Covid-19 menyerang.

Katanya, jumlah besar yang dibelanjakan Sultan Ibrahim mengambarkan betapa akrabnya hubungan baginda dengan rakyat Johor.

Baginda sekeluarga juga merupakan yang paling awal turun ke lokasi apabila ada kawasan di negeri itu dilanda banjir.

“Istana Johor bantu rakyat Johor semasa Covid-19 selama dua tahun, jumlah hampir RM180 juta. Itu angka yang jauh lebih besar daripada apa yang kerajaan negeri mampu sumbang.

“Sebab itu hubungan istana dengan rakyat Johor sangat akrab. Kerana sebagai raja baginda tidak berpeluk tubuh malah mengeluarkan sumbangan dan keringat tenaga untuk membantu rakyat yang susah.

“Keluarga diraja setiap tahun mereka adalah yang pertama turun membantu rakyat yang susah di pusat pemindahan sementara masa banjir. Akan turun setiap tahun. Mereka dekat di hati rakyat,” kata Onn Hafiz.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Skop’ terbitan MalaysiaGazette. – Malaysiagazette