Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhasrat untuk menjadikan Johor sebagai Lembah Klang kedua daripada segi kepesatan pembangunan dan kemajuan infrastruktur.

Menurutnya, dengan kedudukan geografi yang strategik antara Kuala Lumpur dan Singapura hasrat untuk menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang 2030 boleh dijayakan.

“Kita mempunyai kedudukan geografi cukup strategik. Tiga jam dari Kuala Lumpur, 20 minit dari Changi, Singapura. Punyalah dekat. Kos membuat perniagaan kita 30 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur dan 70 peratus lebih rendah berbanding Singapura.

“Bukan kita hendak bersaing tetapi niat kita untuk saling melengkapi. Banyak syarikat di KL dan Singapura hendak mengembangkan perniagaan tercari-cari lokasi lain. Sebab tanah yang ada di KL, Singapura sudah tepu. Paling logik hendak pergi ialah Johor.

“Kita ada tanah, kita ada sumber. Kita juga lebih kos efektif. Saya yakin Johor mempunyai potensi cukup besar menjadi Lembah Kelang kedua,” katanya dalam program ‘Skop’ terbitan MalaysiaGazette.

Beliau juga yakin dengan pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri dalam memperbaiki infrastruktur seperti Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), hospital, jalan dan lain-lain Johor akan terus menjadi destinasi pelabur asing.

Tahun lalu Johor merupakan negeri tertinggi menerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia dan angka bagi suku tahun pertama memperlihatkan potensi yang cukup besar.

“Tahun lepas FDI RM70.6 bilion, baru-baru ini suku pertama RM10.6 bilion. Jadi Johor berada di landasan baik untuk mencapai angka yang lebih baik.

“Kita hendak cipta peluang perniagaan untuk rakyat Johor dan Malaysia. Pelabur yang datang semua menyatakan kerajaan ini adalah mesra pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, proses yang mudah seperti mewujudkan ‘Johor Fastlane’ membolehkan urusan pelaburan dilaksanakan tanpa karenah birokrasi.

Urusan dokumentasi yang dahulunya mengambil masa enam bulan kini dapat dilakukan dalam tempoh tiga bulan.

Melalui pelaburan asing yang mencurah masuk telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Saya ada keyakinan Johor boleh menjadi Kuala Lumpur. Kalau strategi tepat, dapat sokongan dan kerjasama daripada semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, disokong oleh rakyat keseluruhan kita boleh buat gerakan massa pastikan Johor menjadi negeri maju,” katanya penuh semangat.

Tambah Onn Hafiz, dalam menjadikan Johor destinasi pelaburan beliau akan memastikan infrastuktur pengangkutan diperbaiki.

Ini termasuk lebuhraya ke negeri itu dilebarkan daripada dua laluan kepada tiga laluan.

Beliau bersyukur kerana Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan 2023 telah meluluskan peruntukan untuk melebarkan lebuhraya dari Yong Peng ke Kulai.

“Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura bakal siap tahun 2026, pada masa sama di JB Bas Rapit Transit (BRT) sedang dilaksana dan siap 2025.

“Kalau ada rezeki kita mahu usahakan ada LRT di Johor. Ini projek katalis bangunkan Johor,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ada natizen yang cadangkan Kedah menjadi Lembah Kelang ketiga mengembalikan kegemilangan dan kemahsyuran Lembah Bujang.

    Jom semua beri sokongan kepada MB Kedah.

Comments are closed.