Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemilik-pemilik gerai dan penjaja perlu berkongsi amalan terbaik untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

Ini termasuk dari segi penjagaan kebersihan, kesihatan, penyusunan stok yang baik dan pengurusan kewangan yang efisien melalui penggunaan teknologi digital.

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail berkata, pemilik gerai dan penjaja juga perlu memahami keperluan pelanggan dan menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti untuk memenuhi jangkaan mereka.

Menurutnya, pelanggan pula perlu sentiasa memberi maklum balas membantu pemilik gerai untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan operasi.

“Pelanggan yang berpuas hati perlu memberikan sokongan dan mencadangkan gerai yang terbaik kepada orang lain, bagi membantu meningkatkan perniagaan gerai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zahid berkata, MPC menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pihak kerajaan di semua peringkat merancang ubah wajah penempatan gerai peniaga kecil dan penjaja di seluruh negara kepada infrastruktur lebih selesa, indah dan bersih.

Langkah ini penting ke arah meningkatkan pertumbuhan produktiviti dan kemakmuran gerai perniagaan.

Tamba beliau, usaha menambah baik persekitaran gerai peniaga kecil memerlukan penglibatan dan penyertaan semua pihak.

“Kerjasama antara kerajaan, pemilik gerai dan pelanggan amat penting agar gerai di Malaysia dapat terus berkembang, produktif dan makmur,” ujar beliau. – MalaysiaGazette