KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini membuat teguran berikutan tindakan pembangkang yang memboikot sesi pembentangan, perbahasan dan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021.
Beliau menegur sikap ahli-ahli Parlimen blok pembangkang dengan menyifatkan ketidakhadiran mereka sepanjang sesi itu sebagai bukan amalan biasa.
Perkara itu dibangkitkan oleh Johari ketika mempengerusikan persidangan sambil mengesahkan semua Ahli Parlimen pembangkang sudah memboikot semua sesi pembentangan usul berkenaan sejak semalam dan diteruskan hingga petang ini.
“Selalunya dewan penuh, tetapi semalam pembangkang tak mahu terbabit dalam perbincangan atau perbahasan.
“Jadi, mereka sudah buat keputusan untuk boikot dan meninggalkan dewan sejak semalam dan hingga hari ini.
“Ini bukan amalan biasa, tapi agak luar biasa. Jadi, janganlah kita memberi anggapan ini adalah keadaan biasa dalam dewan (tanpa pembangkang), ini tidak begitu. Isu ini agak terpencil (jarang berlaku),” katanya.
Teguran itu kemudiannya dicelah RSN Rayer (PH-Jelutong) apabila menganggap ketiadaan pembangkang di sepanjang pembentangan usul itu menjadikan keadaan dewan lebih aman.
“Keadaan aman dan damai tanpa pembangkang,” ujar Rayer.
Johari kemudian memaklumkan usul yang pertama kali dibentang dan dibahas serta menempa sejarah baru kepada Parlimen itu diluluskan selepas mendapat sokongan suara majoriti ahli dewan yang hadir itu.
Semalam, sidang Dewan Rakyat sesi petang diboikot wakil pembangkang kerana mereka tidak hadir ketika kerajaan membentangkan usul bagi membahaskan LKAN 2021.
Kerusi di blok pembangkang dilihat kosong ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan usul membahaskan LKAN 2021.
Terdahulu, ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membantah Dewan Rakyat membahaskan LKAN 2021.
Kekecohan turut berlaku hampir sejam sebelum itu apabila pihak kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai kewajaran usul berkenaan dibahaskan di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette
Tiada kelibat pembangkang ketika kerajaan bentang usul LKAN 2021