Penduduk Laman Gahal (PELAGA), Jalan Felcra Semungkis membawa plakad bantahan bagi menghantar memorandum tuntutan ganti rugi dan jaminan keselamatan daripada pemaju Lebuhraya EKVE di Menara AZRB, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Lebih 30 wakil penduduk Laman Gahal (PELAGA), Jalan Felcra Semungkis, Hulu Langat menuntut ganti rugi kerosakkan harta benda dan jaminan keselamatan daripada pemaju Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Terdahulu, mereka hadir dengan menaiki bas dan berkumpul di hadapan Bangunan Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB), di sini, bagi mengadakan bantahan secara aman dan menyampaikan memorandum kepada wakil syarikat tersebut.

Sejak pembinaan lebuhraya EKVE pada 2017, kira-kira 800 penduduk di situ mendakwa kawasan rumah mereka sering dilanda banjir lumpur setiap kali hujan malah bekalan air juga kerap terputus.

Pengerusi Persatuan Penduduk Laman Gahal (PELAGA), Abu Samah Ibrahim hadir bagi menghantar memorandum tuntutan ganti rugi dan jaminan keselamatan daripada pemaju Lebuhraya EKVE di Menara AZRB, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2023.

Pengerusi Persatuan Penduduk Laman Gahal, Abu Samah Ibrahim berkata, pihaknya tidak membantah pembinaan lebuh raya itu kerana ia sudah pun siap.

Bagaimanapun, katanya, penyelenggaran dan infrastuktur lebuh raya itu telah memberi kesan buruk kepada penduduk sehingga berlakunya banjir hampir setiap tahun yang  mengakibatkan kerugian harta benda yang banyak.

“Sepanjang lima tahun ini, kita sudah cuba berkomunikasi dengan pihak pemaju dan peringkat awal diadakan mesyuarat dan penduduk dilantik sebagai task force tapi malangnya penyelesaian buntu.

“Untuk makluman, tempat tadahan air kami juga dimusnahkan akibat pengodolan bukit untuk membina lebuh raya, kami bukan menolak lebuh raya atau apa sahaja kemudahan yang disediakan.

“Selain itu, setiap malam atau awan gelap kami tidak boleh duduk tenang sebab risau, trauma dengan situasi banjir dan tanah runtuh malah ada penduduk kami yang meninggal dunia selepas rumahya runtuh.

“Hari ini kami hadir untuk menyerahkan memorandum dengan sembilan tuntutan kepada pihak pemaju bagi menuntut pampasan yang setimpal dan jaminan keselamatan kami,” katanya pada pemberita.

Pengerusi Persatuan Penduduk Laman Gajam (PELAGA), Abu Samah Ibrahim menyerahkan menghantar memorandum tuntutan ganti rugi dan jaminan keselamatan daripada pemaju Lebuhraya EKVE kepada Pengarah Keselamatan AZRB, Mohd Haron Mohd Idris di Menara AZRB, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2023.

Terdahulu, Abu Samah bersama penduduk menyerahkan memorandum tuntutan ganti rugi dan jaminan keselamatan kepada Pengarah Keselamatan AZRB, Mohd Haron Mohd Idris.

Berhubung pampasan yang diterima susulan banjir yang dialami sejak 2017 sehingga kini, Abu Samah berkata, penduduk hanya menerima sekali sahaja bayaran pada 2021 selepas desakan dibuat.

“Kalau ikutkan pembayaran pampasan daripada tahun 2017, kami hanya dibayar sekali sahaja untuk kejadian 2017 dan pembayaran dibuat pada 2021.

“Itu pun selepas kita ‘fight’ sehingga Menteri Alam Sekitar turun barulah penduduk dapat pamapasan itu, tapi untuk 2018 sehingga 2020 dan terbaru malam raya, kami dilanda banjir tiada pun pampasan diberi.

“Bukan itu sahaja, tekanan air Syabas pun tidak sampai ke kawasan kami malah air bukit yang kami guna untuk minum dan membasuh kini bercampur dengan lumpur.

“Kami juga ingin mempersoalkan, pihak mana yang membenarkan air dari lebuh raya EKVE masuk ke kawasan longkang kami? Itu bukan sungai ya, hanya longkang.

“Jadi kapasiti air yang masuk tidak mampu menerima jumlah air yang besar. Keadaan itulah menjadi salah satu sebab kawsan kami ditengelami air,” ujarnya.

Penduduk Laman Gahal (PELAGA), Jalan Felcra Semungkis membawa plakad bantahan bagi menghantar memorandum tuntutan ganti rugi dan jaminan keselamatan daripada pemaju Lebuhraya EKVE di Menara AZRB, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2023.

Sementara itu, Mohd Haron berkata, pihaknya sudah turun padang ke kawasan kejadian minggu lalu bagi meneliti permasalahan yang dialami penduduk.

Bagaimanapun, perbincangan akan dilakukan bersama pihak berkepentingan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri bagi mencari mekanisme berhubung isu tersebut.

“Kami ambil maklum dan saya telah diarahkan untuk terima (memorandum) dan perkara ini kita serahkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengairan dan Saliran dan Majlis Perbandaran Kajang (MPK).

“Kami akan cubakan untuk bantu sebaik mungkin dan perbincangan akan dibuat selepas pihak pengurusan membuat keputusan menerusi memorandum ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette