Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan polis Thailand dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki Angie Chong Sum Yee, 22, yang dilaporkan hilang di Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama pihak berkuasa lain di Thailand dan Myanmar serta pelbagai pihak lagi.

“Pada 2 Jun lalu, polis telah menerima laporan daripada ibu Angie, Chong Sum Yee yang hilang di Chiang Mai, Thailand.

“Usaha untuk mengesan mangsa sedang giat dijalankan oleh Polis Thailand melalui bantuan Interpol, PDRM dan juga kerjasama pihak berkuasa Thailand, Myanmar dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, seorang wanita yang dilahirkan di Negeri Sembilan dan dibesarkan di Sandakan, Sabah dilaporkan hilang dan dikhuatiri diculik di Chiang Mai.

Perkara itu dimaklumkan ibu kepada wanita berkenaan menerusi laman Facebooknya pada Jumaat lalu.

Usaha mencari Angie menemui sinar baharu apabila kelibatnya dikatakan dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Abangnya, Chong dilaporkan berkata, perkara itu tersebar selepas rakaman CCTV memaparkan seorang wanita mirip adiknya disiarkan menerusi satu laporan berita di Thailand, pada Ahad. – MalaysiaGazette