Rosmah Mansor, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menafikan beliau pernah meminta barang-barang kemas yang bernilai RM67.5 juta (AS$14.79 juta) daripada syarikat Lubnan, Global Royalty Trading SAL.

Beliau berkata, syarikat berkenaan menyerahkan barangan kemas kepadanya untuk mendapatkan publisiti dan kredibiliti dalam kalangan pembeli.

Katanya, sebagai isteri kepada seorang Perdana Menteri ketika itu, syarikat tersebut inginkan publisiti dan ingin beliau menjadi pelanggan mereka.

Dalam penyataan pembelaan, Rosmah mendakwa, barang-barang kemas itu telah diserahkan kepadanya oleh syarikat itu dengan rela hati tanpa sebarang syarat atau kewajipan untuk beliau membelinya.

“Saya tegaskan bahawa klausa wujud di atas memorandum bertarikh 22 Mei 2018 yang dirujuk plaintif sebagai nota konsainan dengan jelas menyatakan barangan itu dihantar untuk dilihat dan diperiksa oleh saya dan sekiranya berminat, maka satu perjanjian penjualan secara berasingan akan dikeluarkan.

“Saya juga mengambil semua langkah yang munasabah dan berhemah untuk menjaga keselamatan barangan itu dan akan memperincikan ciri keselamatan yang diambil semasa perbicaraan kes ini.

“Saya tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan kehilangan barangan kemas itu kerana ia sudah diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kerajaan melalui operasi perundangan dan saya bukan penyebab kehilangan barang-barang kemas terbabit,” katanya, semalam.

Rosmah menjawab saman kali kedua yang difailkan Global Royalty Trading SAL pada 29 Mac lalu terhadapnya untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Global Royalty Trading SAL menuntut Rosmah bertanggungjawab dengan membayarn kepada syarikat itu jika barang kemas terbabit atau mana-mana bahagiannya atas apa sebab mungkin tidak boleh diperoleh semula dan jika ia tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

Syarikat terbabit mendakwa Rosmah menandatangani nota konsainan, mengakui penerimaan barang kemas mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018.

Global Royalty Trading SAL mendakwa, pihaknya pernah membuat beberapa panggilan telefon kepada Rosmah dan memintanya untuk mengembalikan barang kemas berkenaan.

Namun menurut syarikat itu, Rosmah melalui surat bertulis mengakui barang kemas yang dikonsain kepadanya tiada dalam pemilikannya tetapi telah disita pihak berkuasa Malaysia dan kini dalam jagaan mereka.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan atau membayar harga semua barangan kemas tetapi menarik balik tuntutan pada 2019. -MalaysiaGazette