GEORGE TOWN – Sepasang suami isteri dan anak lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di tempat awam pada 8 Mei lalu.
Tertuduh, Oo Teck Yeon, 55, isterinya, Chuah Chew Ting, 54, dan Oo Cheng Sing, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama melakukan gaduh gempar di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah di sini pada jam 11.20 pagi.
Kesemua mereka yang didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mohamad Azlan menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Zainal Akram Zainal Azahar yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang diberi jaminan polis pada 9 Mei lalu memberikan kerjasama baik hadir ke mahkamah hari ini.
Selain, hanya dua daripada tertuduh bekerja manakala seorang lagi suri rumah.
Mohamad Azlan kemudian bersetuju menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Mahkamah juga menetapkan 11 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Media pada 12 Mei lalu melaporkan polis menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan membabitkan keluarga mangsa kemalangan maut di Tanjung Bungah. – MalaysiaGazette