KUALA LUMPUR – UMNO perlu memulakan langkah berani dan tegas dengan merangka blueprint untuk mewujudkan agenda Melayu yang moden dan maju.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, blueprint atau rangka tindakan itu untuk meyakinkan orang Melayu bahawa UMNO mempunyai rencana yang jelas untuk bangsa.
Blueprint itu perlu dirangka kerana UMNO sehingga kini belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu.
Malah empat tahun telah terbiar begitu sahaja setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanahair.
UMNO katanya, seolah-olah hilang fokus kepada segala kesusutan dan kesengsaraan yang dilalui bangsa Melayu selain gagal menampilkan solusi yang bernas untuk mereka.
“Dengan blueprint sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa, kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu, dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka.
“Hanya dengan sedemikian, kita dapat membezakan diri kita, daripada mereka yang menunggang agama dan bangsa, dalam landskap politik Malaysia.
“Yang wujud hanya sekadar bermain sentimen agama, dan perkauman yang sempit, demi survival politik,” kata Mohamad.
Isu yang perlu ditangani melibatkan ekonomi, pendidikan, kemaslahatan sosial dan di peringkat kepimpinan antarabangsa yang memperlihatkan bangsa Melayu tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.
Katanya, dalam banyak keadaan pencapaian bangsa Melayu juga telah mengendur dan menyusut disebabkan pandemik, kemelesetan ekonomi dan arus globalisasi.
Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO malam ini, Mohamad mengusulkan parti itu untuk menganjurkan Kongres Melayu dengan segera.
Kongres itu bagi menghimpunkan pemikir terbaik bangsa untuk membantu menghasilkan blueprint tersebut.
“Jangan asyik dengan pelbagai konvensyen politik, tetapi lohong dalam kandungan dan intipati.
“Yang akhirnya, menyaksikan kita mendengar syarahan, daripada tokoh yang sama, manakala kita pula bercakap antara sesama kita sahaja.
“Saya usulkan juga, Kongress ini digerakkan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri. Kerana anda perlu buktikan bahawa, anda semua akan bersedia untuk mengemudi agenda bangsa
bersama kami,” kata Mohamad.
Kongres itu katanya wajar mengumpul jawapan untuk membasmi kemiskinan bandar, meningkatkan pemilikan bank, universiti, hospital, kilang dan syarikat bertaraf unicorn untuk bangsa Melayu.
Ia juga diharap dapat menambah bilangan saintis, coders dan programmers, bilangan jururawat dengan kepakaran unik, jurutera, peguam dan pelbagai professional lain.
Selain mencari strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikan segalanya tentang dunia Melayu terpelihara, maju dan tamsil secara global.- MalaysiaGazette