Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Seramai 953 pelajar di 55 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mendapat keputusan semua A berbanding 904 pada tahun 2021.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terdapat peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) bagi subjek teras Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah.

“Bagi subjek Bahasa Inggeris sebanyak 30 buah MRSM berjaya mencapai KPI BPM dengan peratusan pelajar yang memperoleh lebih daripada 81 peratus Gred Kepujian Tertinggi (Gred B+).

“MRSM Kuala Kubu Bharu mencatatkan 100 peratus A bagi subjek Bahasa Inggeris manakala MRSM Gemencheh, MRSM Kepala Batas, MRSM Tun Dr. Ismail, MRSM Semporna dan MRSM Pasir Tumboh mencatatkan 100 peratus A bagi subjek Pendidikan Islam.

“Bagi subjek teras Matematik, MRSM Tun Abdul Razak mencatatkan keputusan 100 peratus A,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata bilangan calon SPM 2022 yang mendapat semua A+ adalah seramai 30 orang.

Di samping itu, Asyraf Wajdi berkata pencapaian subjek STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) juga menunjukkan peningkatan GPS bagi subjek Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

“Selain itu, subjek elektif seperti Prinsip Perakaunan dan Bahasa Arab juga menunjukkan peningkatan GPS. MRSM Kota Putra pula mencatatkan keputusan 100 peratus A bagi subjek Bahasa Arab,” kata Asyraf Wajdi lagi.

Seramai 7,899 calon SPM mengambil peperiksaan di 55 buah MRSM di seluruh negara bagi tahun 2022. – MalaysiaGazette