KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan penahanan dua pegawainya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam (7 Jun 2023) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid.

Ketua Pengarah Pendaftaran, Zamri Misman berkata, penahanan itu hasil kerjasama strategik di mana JPN telah berkongsi hasil risikan dalaman kepada SPRM sehingga membawa kepada penahanan tersebut.

“Jabatan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM bagi melengkapkan siasatan.

“JPN sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku kakitangan Jabatan yang terlibat dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zamri, JPN tidak akan melindungi mana-mana kakitangan yang didapati terlibat dalam kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.

Katanya, tindakan dan hukuman yang setimpal akan dikenakan sekiranya pegawai yang ditangkap dibuktikan bersalah.

“JPN sentiasa serius dan komited memastikan tiada pelanggaran integriti seumpamanya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen-dokumen pengenalan diri secara berterusan serta pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan.

Artikel berkaitan:

“Malah siasatan peringkat dalaman secara berkala dan kerjasama berterusan dengan agensi- agensi penguat kuasa lain juga merupakan usaha tidak berbelah bahagi Jabatan ini memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terdahulu SPRM menahan 12 individu termasuk dua pegawai agensi kerajaan, empat doktor perubatan swasta dan enam orang awam kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti memalsukan dokumen sijil lahir untuk mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.

Menurut sumber, kesemua suspek lingkungan usia 42 hingga 81 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam dalam satu serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang. – MalaysiaGazette