KUANTAN – Gara-gara terjerat ‘love scam’ wanita warga asing, seorang kontraktor tempatan mengalami kerugian RM 98,658 dalam kejadian di Cameron Highlands hari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata mangsa telah membuat 43 transaksi kepada 13 akaun berlainan bagi membantu kekasihnya yang kononnya telah ditahan pihak berkuasa Malaysia.
Katanya, lelaki berumur 39 tahun mula berkenalan dengan seorang perempuan kononnya warga luar negara melalui aplikasi Facebook tahun lepas
“Suspek memaklumkan datang ke Malaysia bersama wang sebanyak 81,000 Euro.
“Bagaimanapun, dia telah ditahan pihak berkuasa bersama wang tersebut.
“Mangsa kemudiannya menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa peguam wanita terbabit dan mengesahkan penahanan tersebut.
“Mangsa akhirnya menggunakan wang simpanannya sebanyak RM98,648 untuk membantu suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan dan penyamaran serta love scam.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette