Beberapa pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati Dua menggunakan tandas sekolah

KUALA LUMPUR – Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pelajar dididik untuk mencuci tandas di sekolah disambut baik oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati Dua (SKTM2).

Yang Dipertuan Persatuan PIBG SKTM2, Shahir Adnan berkata langkah itu dapat membentuk jati diri pelajar sekaligus memberi impak kepada mereka dalam aspek menjaga kebersihan tandas dan persekitaran di sekolah.

“Apabila anak-anak ini cuci tandas sendiri, mereka akan rasa lebih menghargai kepada persekitaran sebabnya dia sendiri cuci dan dia juga yang guna, itu daripada satu sudut.

“Kalau ada yang membantah perkara ini, pada saya ia perlu dinilai dari sudut positif dalam cuci tandas. Kita tidak mahu anak-anak datang ke sekolah dan cuci tandas pada waktu sekolah.

“Apa yang boleh dilakukan, lihat kepada perkara positif iaitu lakukan pada hujung minggu. Contohnya, boleh buat program keceriaan tandas dan waktu itu juga mereka boleh dilatih untuk bersama-sama cuci tandas serta persekitaran sekolah,” katanya.

Yang Dipertuan Persatuan PIBG SKTM2, Shahir Adnan

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan, rata-rata tandas sekolah yang telah lama dibina di negara ini boleh dikatakan sudah uzur dan amat mendukacitakan.

Menyentuh mengenai baik pulih tandas di sekolah, beliau mencadangkan perlunya ada bajet mengenai perkara itu daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Pada masa ini untuk melakukan pembaikan tandas di sekolah itu, beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mendapatkan dana.

“Daripada sudut lain, terdapat lebih 1,000 pelajar di SKTM 2 ini tetapi kita ada kurang daripada 60 buah tandas. Jadi bayangkan 1000:60 dengan kegunaannya pada tahap maksimum.

“Pada masa yang sama sekolah ini sudah berusia lebih 20 tahun dibina pada tahun 1963 dan kalau lihat infrastuktur tandasnya boleh dikatakan agak mendukacitakan.

“Sehubungan itu, saya berharap kerajaan terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat menyalurkan sumbangan untuk membaik pulih infrastuktur tandas di sekolah yang uzur.

“Ia sekaligus dapat menyuntik semangat pelajar untuk menjaga kebersihan tandas yang baharu,” ujarnya dengan penuh harapan. – MalaysiaGazette