AURA bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak masih membekas kepada akar umbi UMNO.
Persidangan agung parti itu yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menunjukkan mood akar umbi yang mahu bekas Perdana Menteri itu dibebaskan segera.
Ahli Jawatankuasa UMNO Tanjong Karang, Kamarulzaman Mat Sani tidak menolak kemungkinan terdapat ahli akar umbi yang akan memboikot calon pada pilihan raya negeri jika Najib tidak diberikan keadilan yang sewajarnya.
“Aura Bossku memang kuat, sebelum ini tujuh pilihan raya kecil BN menang besar. Melaka 70 peratus DUN menang. Johor pun sama.
“Kalau dapat dikeluarkan Bossku sebelum pilihan raya insya-Allah akan menang. Akar umbi memang tak puas hati. Kesalahan yang dibuat dicipta untuk disumbat ke dalam (penjara),” katanya.
Sementara itu Ketua UMNO Bagaian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, ramai akar umbi UMNO yang percaya Najib tidak bersalah atas pertuduhan yang dilemparkan terhadap beliau.
“Apapun hukuman telah dijatuhkan lihatlah jasa yang telah dilakukan dan buat pertimbangan seadilnya untuk Najib.
“Keadilan kepada Najib perlu diberikan sebab semasa beliau ditangkap ia dilihat sebagai usaha pembunuhan politik dengan harapan supaya semua pemimpin UMNO dituduh melakukan perkara yang tidak dilakukan.
“Kita lihat ia sebagai satu usaha oleh puak yang tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan imejnya sebagai pemimpin UMNO ketika itu dan seterusnya merosakkan nama baik UMNO,” katanya.
Beliau memberikan reaksi terhadap Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang meminta supaya Najib diberikan keadilan sewajarnya.
Secara peribadi Halim meminta pembelaan yang sewajarnya diberikan kepada Najib yang banyak berjasa kepada negara.
Katanya, Najib merupakan seorang pemimpin yang memikirkan rakyat dan banyak berjasa kepada negara.
“Saya yakin dengan kebijaksanaan dan keterbukaan Najib ia akan lebih menguatkan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya yakin Najib seorang nasionalis yang berjiwa rakyat dan mementingkan keamanan dan keharmonian demi masa depan negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd. Jafni Md. Syukor pula berpandangan pembebasan Najib boleh memperkuatkan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, perwakilan menyokong segala usaha untuk membebaskan Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
“Kami di peringkat perwakilan sangat bersetuju dengan apa yang disarankan oleh Presiden UMNO, perlu ada usaha berterusan untuk membela Najib.
“Kalau kita lihat bagaimana lepas kalah PRU 2018, dia (Najib) membina imej Bossku secara berterusan mendapat perhatian dan sokongan padu bukan sahaja diperingkat pertengahan tetapi juga akar umbi.
“Saya yakin dan percaya Najib boleh menyumbang ke arah kemenangan dalam PRN akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette