Empat individu termasuk tiga pelajar sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas dua pertuduhan iaitu mencederakan gelandangan warga emas dan seorang remaja berusia 17 tahun pada bulan lalu.

KLANG – Empat remaja lelaki, termasuk tiga pelajar sekolah, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, kerana mencederakan seorang gelandangan di daerah berkenaan pada 8 Mei lalu.

Tertuduh, Chan Jia Jing, 19, dan tiga remaja berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa lelaki berusia 67 tahun.

Ia berlaku di sekitar kaki lima sebuah pasar raya di Jalan Lebuh Berangan, Pelabuhan Klang sekitar jam 3.30 pagi.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut pendakwaan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi mencadangkan ikat jamin sebanyak RM4,000 selain tertuduh tidak boleh menganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam Tham Weng Kin mohon kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya masih di bawah tanggungan keluarga.

Majistret P. Sarulatha kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM2,000 bagi setiap tertuduh dan sebutan semula kes pada 28 Julai ini.

Dalam pada itu, mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang remaja lelaki 17 tahun di Pandamaran sekitar jam 1.10 petang, hari sama.

Kes didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, tular di media sosial aksi mereka memberhentikan kereta dan membelasah seorang gelandangan menggunakan besi pemukul besbol selepas mengumpan warga emas itu dengan wang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2023/06/05/kumpulan-remaja-lelaki-pukul-tiga-gelandangan-diberkas/