Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh (tengah) bercakap kepada media sebelum menyerahkan memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat berhubung isu pelawak, Jocelyn Chia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan pelawak yang berasal dari Singapura, Jocelyn Chia daripada masuk ke negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, tindakan wanita itu menghina kedaulatan negara selain berjenaka mengenai tragedi kehilangan pesawat MH370 adalah melampau.

“Sangat jelas dan nyata perbuatan Jocelyn itu tidak menjaga sensitiviti terhadap rakyat Malaysia. Apatah lagi membuat lawak atas kehilangan pesawat MH370 yang melukakan hati waris mangsa.

“Tindakan keras harus diambil dengan mengharamkan Jocelyn masuk ke negara kita, itu tindakan tepat selain kerajaan perlu ambil tindakan perundangan terhadapnya,” katanya selepas menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong dan Setiausahanya, Daniel Wa selain disertai lebih 100 ahli Pemuda UMNO dalam perhimpunan aman tersebut.

Mengulas lanjut, Akmal memberitahu, mereka hadir ke Kedutaan AS pada hari ini susulan Pesuruhjaya Tinggi Singapura mengesahkan bahawa Jocelyn bukan lagi warga Singapura.

“Tujuan kita berkumpul ini kerana kami diberitahu bahawa Jocelyn tinggal di AS dan atas sebab itu kami menyerahkan memorandum bantahan ini kepada Kedutaan AS,” ujarnya.

Terdahulu, tular video komedi berdiri Jocelyn yang disifat keterlaluan apabila memperlekeh negara ini dalam satu persembahan dipercayai diadakan di New York, baru-baru ini.

Wanita itu membuat perbandingan Malaysia hanya bertaraf negara membangun berbanding negara kelahirannya yang lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Malah, Jocelyn turut berjenaka mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’. – MalaysiaGazette