Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2023.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Akar umbi UMNO yang mahu DAP memohon maaf kepada parti itu, jelas Dr Muhamad Akmal Saleh.

Ketua Pergerakan Pemuda itu berkata pihaknya hanyalah perantara dan membawa isu itu kepada pengetahuan kepimpinan tertinggi.

“Kita sudah ‘move on‘ tapi bila saya kata DAP perlu minta maaf bukan kita tidak boleh move on, tetapi ini adalah suara akar umbi yang perlu kita terjemahkan sebagai pemimpin.

“Sama ada DAP nak minta maaf atau tidak terpulang kepada DAP untuk memikirkan apakah kebaikan dan keburukan sebab kita nak hadapi PRN dan kita mahu kedua-dua pihak tenang hati dan boleh bekerja sama.

“Tugas kami sebagai pemimpin menyampaikan hasrat akar umbi di bawah,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Akmal  mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mahu UMNO melupakan kisah silam dan ‘move on’ daripada sebarang persengketaan serta permusuhan politik sebelum ini.

Namun Akmal menegaskan permohonan maaf daripada DAP itu akan dapat meredakan suhu politik dalam kalangan kaum Melayu di negara ini.

“Kita dah nak PRN, jadi permohonan maaf daripada DAP inilah dituntut daripada akar umbi UMNO, jadi kami sebagai pimpinan suarakan di pentas Perhimpunan Agung UMNO.

“Pemuda UMNO cuma nak redakan suhu akar umbi di bawah memandangkan PRN tidak lama lagi. Kita terjemahkan apa yang akar umbi mahu.

“Kita sekadar nak suarakan isu sebenar yang timbul agar akar umbi maklum kita sudah bawa suara mereka di pentas tertinggi parti,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal berkata Pemuda UMNO tidak akan menarik balik kenyataan untuk DAP memohon maaf kepada parti itu.

“Kita tidak akan sama sekali menarik balik kenyataan kita kerana itu adalah suara akar umbi, kalau DAP tidak mohon maaf saya serahkan kepada kebijaksanaan (rakyat),” katanya lagi.

Sebelum ini, Akmal menuntut permohonan maaf daripada DAP dan menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap parti itu.

Akmal berkata, tindakan itu berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, desakan permohonan maaf oleh DAP terhadap UMNO tidak sepatutnya menjadi isu yang dibangkitkan semula. – MalaysiaGazette