JOHOR BAHRU – Hospital Pakar KPJ Puteri hari ini mengadakan kayuhan santai ‘Fun Ride‘ 30 kilometer (km) sekitar Iskandar Puteri, di sini bersempena ulang tahun ke-30nya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar KPJ Puteri Hazarul Azly Hamzah berkata, 500 peserta menyertai kayuhan tersebut yang turut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Sedunia.
Kayuhan itu bertujuan mewujudkan kesedaran terhadap aktiviti fizikal bagi meningkatkan kesihatan dan kecergasan diri.
Selain menggalakan gaya hidup sihat, aktiviti kayuhan tersebut turut menyumbang RM10,000 kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ).
“Kayuhan ini amat signifikan buat Hospital Pakar KPJ Puteri sebagai fasiliti kesihatan yang telah beroperasi sejak 30 tahun sebagai antara hospital swasta terawal di Johor dan telah memberi khidmat kepada lebih 600,000 pesakit setempat dan serantau.
”Menjadi salah satu daripada 29 hospital di bawah KPJ Healthcare Berhad, kami sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dengan penambahan doktor pakar termasuk fasiliti yang terkini iaitu Makmal Kateterisasi Jantung (Cath-Lab) yang bakal diperkenalkan menjelang Julai tahun ini,” katanya selepas merasmikan larian Fun Ride di sini hari ini.
Pelepasan turut dilakukan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Datuk Mohd Haffiz Ahmad,
Kayuhan membabitkan laluan sejauh 30 km itu bermula dari perkarangan Puteri Harbour, melalui Persiaran Medini, Hab Pendidikan EduCity dan kembali semula ke lokasi mula.
Hospital Pakar KPJ Puteri diambil alih oleh JCorp pada tahun 1993 dan diletakkan dibawah subsidari KPJ Healthcare pada tahun 2002. – MalaysiaGazette