Chong Sum Yee

KULAI – Ibu kepada Chong Sum Yee, 22, wanita Malaysia yang dipercayai hilang di Chiang Mai, Thailand, tidak mempercayai video anaknya mendakwa dirinya selamat dan sihat, yang tular beberapa hari kebelakangan ini.

Chee Choy Won, 50, berkata hal ini kerana akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Moe Aye’ yang memuat naik rakaman video anaknya itu, tidak dikenali dan percaya ia adalah akaun baharu dibuat.

Beliau berkata, anaknya juga sukar untuk dihubungi dan mengelak setiap kali ditanya mengenai keberadaannya.

Menurut Chee, ia ditambah pula dengan gesaan anaknya yang mahu laporan polis ditarik balik ketika dia berjaya menghubungi anaknya itu pada 8 malam tadi menerusi aplikasi WhatsApp.

“Menerusi panggilan WhatsApp selama beberapa minit malam tadi, Sum Yee mengatakan dia selamat dan meminta agar kami tidak mencarinya serta menarik laporan polis tetapi suaranya agak laju dan kelam kabut.

“Setiap kali saya tanya dia berada di mana, dia tidak menjawab dan berulang kali beritahu dia selamat. Saya tidak pasti apa yang berlaku, tetapi (saya percaya) terdapat kemungkinan dia menjadi mangsa pemerdagangan manusia atau scam (penipuan),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Johor di sini hari ini.

Ibu dua anak itu berkata dia turut berlepas ke Thailand bersama anak lelakinya Chong Jeng Wei, 23, dan Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor Alan Tee Boon Tsong selama empat hari pada 6 Jun lepas bagi mengikuti perkembangan kes kehilangan anaknya.

Bagaimanapun, Chee berkata pihak polis Thailand memaklumkan terdapat kemungkinan anaknya berada di Myanmar, justeru, Polis Thailand dan Myanmar sedang bekerjasama bagi mengesan Sum Yee yang sepatutnya pulang ke Malaysia pada 7 Jun lepas.

Sementara itu, Jeng Wei berkata dia musykil apabila adik perempuannya yang bekerja sebagai jurusolek di Kuala Lumpur memaklumkan pergi ke Thailand seorang diri kerana dia tidak pernah pergi ke luar negara bersendirian.

Jeng Wei berkata mereka semakin risau apabila Sum Yee memberi alasan ke sana atas urusan kerja yang telah dinafikan oleh majikan dan berharap agar dia segera ditemui.

Sebelum ini, laporan berita dipetik terdapat tiga video yang telah dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang tidak dikenali bernama ‘Moe Aye’ di ruangan komen catatan Chee, memaparkan Sum Yee tersenyum serta berulang kali menyatakan “dia selamat dan sihat”.

Sum Yee dipercayai berlepas ke Chiang Mai, Thailand pada 29 Mei dan melakukan perjalanan sejauh 250 kilometer ke daerah utara Mae Sai di wilayah Chiang Rai, yang berdekatan dengan bandar Tachilek di Myanmar, iaitu lokasi kes-kes pemerdagangan manusia pernah dilaporkan.

Polis Diraja Malaysia juga dilaporkan sedang bekerjasama dengan Polis Thailand bagi mengesan Sum Yee dan berdasarkan siasatan awal, jurusolek itu telah menyeberang sempadan ke Tachilek, sejak 30 Mei lepas. – BERNAMA